Sunday, 30 July 2017

Perjalanan akhir adik aku

Subuh 21 ramadan 1438H


Perjalanan akhir adik aku yang aku coretkan sambungan dari subuh 21 ramadan 1438H.  Datang kawan baik arwah adik beritahu bagaimana kejadian kemalangan jalan raya berlaku dan kawan baik adik aku inilah yang pertama memberitahu aku sebelum polis datang dan menerangkan kepada kami keadaan kemalangan . Aku dan kakak masuk untuk pengecaman jenazah, memang dalam hati berfikir itu minta sangat itu bukan adik aku. Bila buka sahaja beg tersebut jelas kelihatan adik aku macam sedang tidur, polis forensik tanya betul kan ini adik awak serentak dengan angah kami jawab "Ya". Mulut berkumat kamit baca doa yang tajhu dan polis bawa kami ke luar dengan penerangan yang lain lagi. 
Oleh sebab sudah sepakat urusan mandi jenazah dilakukan di hospital kami diminta call ustazah yang akan menguruskan jenazah. Sebaik arwah diletakkan di atas tempat mandian, aku cium berkali-kali adik aku. Datang seorang kawan baik arwah minta izin cium jenazah "kak boleh saya cium" aku suruh dia minta izin kakak sulung aku ketika itu. Suasana jumaat kali ini meninggalkan memori yang teramat. Adik aku kelihatan senyum dibibir memang indah melihat arwah. Kami tiga beradik perempuan yang tinggal bersama tiga orang kawan baik arwah memandikan jenazah diketuai ustazah. Senyuman dibibir jenazah mengambarkan seribu satu pengertian. Usai urusan mandi dan kafan tak aku tinggal arwah jauh dari aku walau aku tahu selepas ini adik aku berada diantara alam dunia dan akhirat. 
Kami tiga beradik naik van jenazah terus ke masjid di rumah kami. Kakak yang sulung memberi amanat jika antara kami meninggal dahulu kuatkan semangat untuk uruskan seperti mana kami menguruskan adik perempuan kami yang bongsu. Terdengar khutbah jumaat sedang dibacakan dan kami menunggu di luar perkarangan masjid. Sebaik selesai solat jumaat jenazah adik diletakkan di ruangan solat seketika dan dibawa ke hadapan imam untuk disolatkan. Ramai yang berada dalam masjid bersama solat jenazah untuk arwah yang kebanyakkannya orang yang menunaikan solat jumaat.  Selepas solat jenazah kakak sulung buka kain kafan dimuka untuk membenarkan saudara mara, jiran tetangga dan rakan arwah melihat dan cuim jenazah buat kali terakhir. Kami bawa adik kami ke tanah wakaf untuk dikebumikan. Ada lagi saudara mara dan rakan yang masih ingin menatap arwah kali terakhir dan mencium jenazah. Aku memang berulang mencium adik aku yang sangat aku sayang. Tak sanggup melepaskan tapi kuasa Allah tak dapat aku halang. Alfatihah buat arwah adik yang aku sangat sayang "Allayarhamah Nordila". Semoga kita semua bersatu di syurga Allah SWT. 
Ya Allah, hamparkan ibuku dan adikku dengan hamparan dari syurgaMu
Ya Allah, pakaikan ibuku dan adikku pakaian dari syurgaMu
Ya Allah, bukakan lorongan buat ibuku dan adikku melihat syurgaMu.
Amin amin Ya Rabbal Alamin.

No comments:

Post a Comment